DASAR PEMBANGUNAN KOLEKSI PERPUSTAKAAN UNIVERSITI SAINS MALAYSIA

JAWATANKUASA PENGURUSAN PERPUSTAKAAN


1.    LATAR BELAKANG
    Dasar Perkhidmatan Perpustakaan Universiti Sains Malaysia digubal bagi memenuhi keperluan pelanggan dalam usaha mencapai Visi, Misi dan Dasar Kualiti Perpustakaan Universiti Sains Malaysia:
2.    SKOP
    Dasar Pembangunan Koleksi Perpustakaan Universiti Sains Malaysia ini merangkumi aktiviti yang berkaitan dengan pembangunan koleksi Perpustakaan meliputi koleksi bahan-bahan bercetak, bahan media dan bahan elektronik bagi memastikan koleksi Perpustakaan berkualiti dan seimbang.
3.    PENYATAAN DASAR
    Dasar ini digubal bagi memastikan Perpustakaan mempunyai koleksi bahan sumber maklumat yang berkualiti, seimbang dan disampaikan kepada pelanggan dengan lebih cepat dan berkesan.
4.    DEFINISI
    Dasar Pembangunan Koleksi Perpustakaan Universiti Sains Malaysia ialah panduan yang dirangka dan disusun untuk rujukan bagi tujuan memantapkan proses kerja perolehan bahan sumber maklumat perpustakaan.
    4.1  Sumber Maklumat Perpustakaan
    Sumber Maklumat Perpustakaan bermaksud semua bahan sumber maklumat yang diperolehi oleh Perpustakaan untuk pengguna. Ia merangkumi buku dan jurnal (bercetak dan elektronik), bahan media seperti cakera padat, filem, pita video, pita kaset, peta, kit, mikrobentuk, dokumen dan pangkalan data.
    4.2  Buku
    Buku bermaksud kumpulan helaian-helaian kertas yang berisi tulisan yang satu sisinya dijilid bersama-sama, bahagian hadapan dan belakang. Lembaran kertas ini dilindungi oleh kulit atau sampul yang diperbuat daripada bahan yang lebih tahan lasak.
    4.3  Buku Elektronik
    Buku elektronik bermaksud sesuatu bahan buku yang telah ditukar bentuk dalam bentuk digital dan boleh dibaca melalui komputer biasanya melalui perkhidmatan rangkaian atau CD-ROM, DVD dan sebagainya.
    4.4  Bahan Media (Media Resources)
    Bahan media bermaksud bahan bukan bercetak merangkumi rakaman video (pita/cakera padat), filem, slaid, gambar, transperensi, perisian komputer (disket/cakera kaset/cakera padat), kit, rakaman audio (pita/cakera padat), diorama, permainan, model dan realia dan bahan bercetak seperti peta.
    4.5  Mikrobentuk (Microforms)
    Mikrobentuk bermaksud bahan sumber maklumat dalam bentuk rakaman mikro pada gulungan filem, kertas atau bahan lain.
    4.6  Bahan Bersiri (Serials)
    Bahan Bersiri bermaksudbahan yang diterbitkan secara berkala dalam bentuk bercetak dan tidak bercetak (elektronik, CD-ROM atau mikrobentuk) seperti jurnal, majalah, laporan, dan prosiding daripada organisasi profesional yang mempunyai nombor bersiri (ISSN).
    4.7  Jurnal (Journals)
    Jurnal bermaksud suatu penerbitan atau risalah yang mengandungi makalah, berita, ulasan, rencana, esei dan sebagainya yang dikeluarkan pada masa yang ditetapkan. Ianya boleh bersifat umum, khusus, ilmiah dan sebagainya.
    4.8  Jurnal Elektronik (eJournals)
    Penerbitan berkala dalam bentuk elektronik yang boleh diakses melalui rangkaian atau dalam sebarang bentuk elektronik, disediakan, dirujuk, diterbit dan diedarkan secara atas talian.
    4.9  Pangkalan Data (Databases)
    Pangkalan data bermaksud simpanan sejumlah besar data dalam bentuk yang dapat dikendalikan oleh komputer. Mengandungi data dalam bentuk bibliografi, teks penuh, angka, bahan statistik, video, imej, komponen dan lain-lain. Boleh dipasang dan dipasarkan secara komersial oleh organisasi, perpustakaan atau individu. Data biasanya berstruktur dan sistematik untuk memudahkan proses dapatan kembali maklumat. Akses kepada pangkalan data dalam talian boleh dicapai melalui pelayan.
    4.10  Dokumen (Document)
    Dokumen bermaksud maklumat yang diwujudkan, sama ada dalam bentuk kertas, atau imej yang diimbas atau secara elektronik, yang masih boleh dipinda atau diubah.
5.    OBJEKTIF

    5.1  Membina koleksi untuk memenuhi keperluan pembelajaran, pengajaran penyelidikan dan perundingan.
    5.2  Mengimbangi koleksi Perpustakaan selaras dengan keperluan Universiti.
    5.3  Memenuhi keperluan masyarakat di luar kampus seperti pegawai dan penyelidik di jabatan kerajaan dan badan-badan berkanun dalam penggunaan bahan-bahan Perpustakaan.
6.   TANGGUNGJAWAB PEMILIHAN BAHAN SUMBER MAKLUMAT
    Pemilihan bahan sumber maklumat Perpustakaan dilakukan oleh staf akademik, pustakawan dan staf pentadbiran. Pemilihan adalah berasaskan kriteria yang ditetapkan.
7.    PERUNTUKAN
    Perolehan bahan sumber maklumat menggunakan peruntukan yang diluluskan dan diagihkan kepada Pusat-Pusat Pengajian/Penyelidikan berdasarkan kepada Garis Panduan dan Peraturan Kewangan Universiti yang ditetapkan
8.    PEROLEHAN SUMBER MAKLUMAT
    Bahan sumber maklumat Perpustakaan diperolehi secara pembelian terus, langganan dan hadiah. Perolehan bahan secara pembelian terus dan langganan perlu melalui pembekal terpilih (berdaftar).
9.    PENAMBAHAN KE STOK
    Bahan sumber maklumat Perpustakaan yang diperolehi perlu diproses dan ditambah ke stok mengikut prosedur yang telah ditetapkan.
10.   PINDAAN DASAR
    Kajian semula Dasar akan dibuat 2 tahun sekali atau berdasarkan keperluan semasa atau jika diarahkan oleh Ketua Pustakawan.
11.   PEMAKAIAN DASAR
Pemilik Dasar ini Perpustakaan Universiti Sains Malaysia
Pegawai bertanggungjawab Ketua Pustakawan
Diperakukan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Perpustakaan ke-
Tarikh kuatkuasa 11 Julai 2019
Pihak yang boleh dihubungi untuk pertanyaan tentang Dasar ini Ketua Bahagian Perolehan
Ketua Bahagian bersiri

                 Ketua Pustakawan boleh mengambil tindakan pentadbiran yang sesuai untuk melaksanakan Dasar
                 ini agar selari dengan hasrat dan tujuan Dasar ini digubal dan dilaksanakan.