USM PULAU PINANG, 19 Jun 2023 - Perpustakaan Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah menerima Lawatan Penanda Aras (Pendigitalan Koleksi Tesis dan Sistem Repositori) dari delegasi Perpustakaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Delegasi Perpustakaan KPM seramai tujuh orang terdiri daripada staf Sektor Repositori dan Pembangunan Kualiti, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan KPM diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah KPM, Norhasziyati Hashim.
Tujuan lawatan tersebut adalah untuk membolehkan staf Perpustakaan KPM mendapatkan input dan mempelajari dengan lebih mendalam mengenai amalan terbaik berkaitan pendigitalan koleksi tesis serta pembangunan sistem repositori untuk dilaksanakan di Perpustakaan KPM.
Pustakawan Kanan, Pengurusan Korporat dan Penjanaan Kewangan, Asma Wati Ibrahim mewakili Pengurusan Tertinggi Perpustakaan USM mempengerusikan perjumpaan itu mengalu-alukan kedatangan delegasi KPM dan memberikan penerangan ringkas mengenai struktur organisasi, kemudahan, perkhidmatan serta inisiatif utama yang dijalankan oleh Perpustakaan USM.
Taklimat dan penerangan berkaitan proses pendigitalan dan sistem repositori koleksi tesis Perpustakaan USM telah disampaikan oleh Ketua Bahagian Repositori dan Penerbitan Ilmiah, Perpustakaan USM, Husriati Hussain. Selain itu, delegasi turut dibawa melawat ke Bahagian Repositori dan Penerbitan Ilmiah bagi melihat sendiri proses kerja secara praktikal.
Sesi tersebut turut disertai oleh Ketua Bahagian Pengurusan Sistem dan Teknologi Maklumat, Perpustakaan USM, Mustaqeem Abdullah, Ketua Arkib USM, Nor Azan Ibrahim dan Pustakawan Kanan, Bahagian Repositori dan Penerbitan Ilmiah, Perpustakaan USM, Suhana Ishak.