PERPUSTAKAAN USM TERUS TAMBAH BAIK PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN, FOKUS TIGA PERKARA UTAMA
USM PULAU PINANG, 19 Jun 2023 – Perpustakaan Universiti Sains Malaysia (USM) akan meneruskan usaha untuk menambahbaik penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan dengan memberikan fokus kepada tiga perkara utama iaitu pemantapan sumber manusia, transformasi perkhidmatan berpacukan data dan pengukuhan kerjasama strategik antara jabatan serta organisasi luar.
Berucap dalam Sesi Perjumpaan Ketua Pustakawan Bersama Staf di kampus induk, Jumaat yang lalu, Ketua Pustakawan Arinawati Ayob berkata Perpustakaan USM akan terus melaksanakan pelan-pelan tindakan seperti yang telah dirancang di dalam Pelan Strategik Perpustakaan USM 2022 – 2024.
“Antara pelan yang diberikan tumpuan adalah pembangunan staf yang kompeten, berprestasi tinggi, berkepimpinan dengan peluang perkembangan kerjaya, penawaran modul pendidikan pengguna melalui program MOOCs dan Micro-Credential, serta pengukuhan sokongan kepada ekosistem penyelidikan universiti melalui jaringan kolaborasi strategik yang berkesan dan berterusan”.
Menurutnya lagi, projek-projek khas yang telah dirancang sebelum ini juga akan dilaksanakan mengikut fasa, antaranya penyediaan kemudahan baharu berasaskan konsep Library 4.0 seperti Edu-Mall, Gaming Corner dan Research Wing.
“Perpustakaan juga akan terus menyumbangkan khidmat bakti dan melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat melalui Program Pemindahan Ilmu dan Khidmat Masyarakat di mana kita menyediakan bantuan kepakaran bagi menaik taraf pusat sumber sekolah dan perpustakaan komuniti,” tambah beliau lagi.
Sesi perjumpaan tersebut adalah yang pertama sejak beliau dilantik sebagai Ketua Pustakawan pada awal Jun lalu, dihadiri oleh staf Perpustakaan USM kampus induk. Sesi berasingan akan diadakan untuk staf Perpustakaan USM di kampus Kejuruteraan dan Kesihatan, kelak.
Teks oleh: Asma Wati Ibrahim / Foto: Pasukan Produksi Perpustakaan USM
Disclaimer
USM Library will not be responsible for any loss or damage caused by the use of any information obtained from this website.
Universiti Sains Malaysia Library © 2023
All Rights Reserved